top of page

Tokoh Karya Agung

  • Amie Gy
  • May 24, 2016
  • 6 min read

1.0 Pengenalan

Karya Agung Melayu dapat ditakrifkan sebagai karya yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tanpa mengambil kira kelompok mana bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau, dan selainnya yang menghasilkan karya itu. Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan penelitian ciri-ciri karya agung Melayu dibuat berdasarkan aspek-aspek seperti, pemikiran dalam karya agung, estetika dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup dan nilai ilmu dalam karya agung Melayu

Karya agung merupakan suatu hasil penulisan yang bermutu tinggi. Penulisan karya agung yang berkualiti dapat mengangkat martabat sesuatu bangsa dan tamadun di mata dunia. Karya agung dihasilkan oleh tokoh pengarang Melayu misalnya Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji, Syamsuddin Al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan ramai lagi.

2.0 Latar belakang dan Sumbangan Tokoh

2.1 Latar Belakang Tun Seri Lanang

Tun Muhammad Bin Tun Ahmad atau dikenali sebagai Tun Seri Lanang telah dilahirkan pada tahun 1565M di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor. Beliau merupakan anak kepada Orang Kaya Paduka Raja Ahmad dan bondanya bernama Tun Genggang. Beliau berasal daripada keturunan keluarga Bendahara Seri Maharaja, Melaka yang merujuk kepada Baginda Mani Purindam yang berasal daripada Bukit Siguntang.

Beliau telah dilantik sebagai bendahara kepada dua sultan iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II pada tahun 1570M hingga 1597M dan Sultan Alauddin ShahIII pada tahun 1597M hingga 1612M. Beliau telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613M setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan beliau menetap di negeri Samalanga. Di negeri itu, beliau telah dilantik sebagai penasihat utama Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan diberi gelaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Pada tahun 1615, beliau telah diangkat menjadi raja di negeri Samalanga. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana

2.2. Latar Belakang Munsyi Abdullah

Abdullah Munsyi dilahirkan pada tahun Masihi 1796, bersamaan tahun Hijrah 1211, di Kampung Masjid atau juga dikenali sebagai Kampung Pali oleh masyarakat Keling. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik seibu sebapa. Ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia sewaktu masih kecil. Beliau berasal daripada keturunan India dan Arab. Ayah beliau bernama Abdul Kadir adalah anak tunggal Muhammad Ibrahim dan Peri Achi. Moyang beliau merupakan seorang yang berketurunan Arab Yaman (Shellabear, 1947). Abdul Kadir telah mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil dan pernah memegang jawatan yang penting iaitu sebagai Syahbandar serta utusan Inggeris kepada negeri-negeri Melayu seperti Lingga, Riau, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Palembang. Selain itu, Abdul Kadir juga pernah menjadi jurubahasa dan jurutulis..

Abdullah telah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita berperanakan India sepertinya ketika berusia 34 tahun. Beliau telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Siti Lela. Abdullah telah meninggalkan keluarganya di Melaka untuk meneruskan pekerjaannya di Singapura. Selepas kematian anak perempuan dan isterinya, beliau membawa anak lelakinya ke Singapura. Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 di Juddah sewaktu ingin menunaikan haji.

3.0 Peranan dan Sumbangan Tokoh

3.1 Peranan dan Sumbangan Tun Seri Lanang

Semasa hayatnya, beliau telah menjadi bendahara kepada dua Sultan kerajaan Johor. Pada 1570M hingga 1597M, beliau telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II, manakala pada 1597M hingga 1615M, beliau telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III. Beliau merupakan tokoh pengarang dan pujangga yang terkenal dalam penghasilan buku sejarah mahupun panduan adat istiadat dalam peradaban, kebudayaan serta sistem pemerintahan Melayu. Selain itu, beliau juga telah mengembangkan agama Islam di Semenanjung Melayu hingga ke tanah seberang ketika diberi kepercayaan memerintah Samalanga, Aceh pada tahun 1645M.

Penyebaran agama Islam telah berlaku dengan luas dalam tempoh pemerintahan beliau di Aceh. Semasa pemerintahan beliau sebagai Paduka Raja Samalangga, beliau bersifat pemerintah autonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh dan disenangi oleh Kesultanan Aceh. Kehadiran beliau di Aceh telah menimbulkan rasa senang hati Sultan Aceh dan beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada tiga orang Sultan Aceh iaitu, Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Pada tahun 1612M, Tun Seri Lanang telah menerima titah Raja Abdullah supaya mengarang Sulalatus Salatin. Tun Seri Lanang memulakan penulisan kitab Sulalatus Salatin di Batu Sawar, Kesultanan Johor Lama sekitar tahun1612M.

Tun Sri Lanang seperti yang dikenali adalah seorang sasterawan Melayu yang terkenal pada zaman kesultanan Melayu bersama karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dan orang yang bertanggungjawab mengarang dan menyusun kembali Hikayat Melayu di atas titah Raja Abdullah pada tahun 1612 dan berjaya menyiapkannya pada tahun 1612. Kepengarangan beliau tidak dapat disangkal lagi dengan wujudnya pelbagai fakta-fakta dan bukti-bukti yang menyokong keaslian dan ketulenan beliau sebagai penulis asal kitab Sulalatus Salatin ini. Kebijaksanaan dan kepintaran beliau dalam ilmu mengarang jelas terpancar dalam karyanya apabila beliau berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran melalui kata-kata yang tersusun indah dalam bait-baitnya serta imaginasi lakaran peristiwa yang dilukis indah dalam kitab tersebut. Maka beliau tidak seharusnya dianggap hanya sebagai penyalin Hikayat Melayu bahkan sebagai orang yang mengarang, menulis, memperbaiki dan mempertingkatkan mutu karya awal sehingga terhasilnya karya agung dalam catatan sejarah Melayu yang dikenali umum dengan nama Sulalatus Salatin. Dengan itu terserlahlah ilmu kepengarangan dan persuratan Tun Sri Lanang dalam memartabatkan sejarah kegemilangan masyarakat Melayu seperti yang tercatat dalam karya agungnya itu.

3.2 Peranan dan Sumbangan Abdullah Munsyi

Abdullah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penulisan. Beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarawan, penterjemah dan sebagainya (Ismail Yusoff, 2008). Pengkaji sejarah mendapati bahawa pemisahan antara Sastera Melayu Lama dengan Sastera Melayu Baru berlaku selepas tahun 1800, iaitu pada abad ke-19 setelah munculnya karya-karya Abdullah Munsyi yang membawa unsur-unsur baru dalam Sastera Melayu. Kejayaan Abdullah dalam bidang penulisan banyak didorong oleh faktor persekitaran seperti kehidupan keluarga, keadaan sosiopolitik selain bakat semula jadi yang dimilikinya.

Abdullah Munsyi telah menghasilkan banyak karya yang bermutu seperti Syair Singapura Terbakar (1830), Dawaiy-Kulub (1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1938), Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri (1838), Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Juddah (1854). Beliau juga menghasilkan karya terjemahan Hikayat Pancatanderan dan menyunting Sejarah Melayu. Karya-karya beliau ada yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau membawa unsur-unsur pembaharuan dalam lapangan sastera Melayu. Dua buah karya agungnya iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan merupakan cerminan kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat. Abdullah melaporkan perkara yang benar-benar terjadi dan tidak memasukkan unsur khayalan. Hikayat Abdullah yang berbentuk autobiografi memuatkan pengalaman hidupnya bersama orang-orang Inggeris dan mengandungi kritikan terhadap orang Melayu, raja-raja Melayu dan undang-undang Timur yang sebelumnya tidak pernah disentuh oleh golongan penulis. Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan pula dapat dianggap sebagai dokumentasi sejarah yang ditulis berdasarkan pemerhatian semasa. Beliau telah mengupas aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berpendapat kemunduran orang-orang Melayu berpunca daripada sikap raja dan golongan bangsawan yang mengambil kesempatan terhadap ketaatan rakyat kepada mereka. Di Kelantan, rakyat berfungsi untuk memberi khidmat kepada raja dan kerabatnya sahaja sehingga tiada masa untuk bekerja. Malah kadang-kadang harta yang dimiliki oleh mereka turut dirampas oleh raja. Di Terengganu, beliau mengkritik sistem perhambaan dan adat atau pantang larang yang dikenakan agar tidak menyamai golongan pemerintah. Selain itu, beliau juga lantang mengkritik rakyat di Pahang yang malas bekerja sehingga keluasan kawasan yang dimiliki tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.. Beliau mengecam orang Melayu yang malas berusaha, suka bersabung ayam, meletakkan tanggungjawab mencari nafkah di bahu perempuan dan suka memakan makanan yang tidak berkhasiat seperti pekasam, tempoyak, ikan asin, jering, petai dan lain-lain.

4.0 Kesimpulan

Pengajaran karya agung secara formal dalam bilik darjah dapat memperkemaskan lagi usaha melahirkan golongan masyarakat berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia. Pembelajaran dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan yang luas. Setiap ilmu berkaitan sastera boleh melahirkan pelajar yang lebih berjaya dan memperkembangkan ilmu pengetahuan. Penguasaan ilmu sastera yang digabungkan dengan ilmu-ilmu lain membolehkan pelajar menikmati keseronokan dengan menerapkan unsur-unsur sastera secara tidak langsung melahirkan pelajar yang suka membaca sekali gus memberi peluang kepada warga Malaysia menyedari aktiviti membaca perlu disertai dengan minat.

Perkembangan sahsiah pelajar dibentuk apabila mereka melangkah masuk ke sekolah menengah iaitu dengan mempelajari nilai-nilai murni ataupun yang lebih penting iaitu nilai-nilai kemanusiaan. Hal ini dapat diketahui melalui karya-karya atau genre yang dipelajari. Pelajar adalah aset utama yang memerlukan kekuatan bahasa. Kesusasteraan Melayu khazanah yang bernilai tinggi kerana masih ada nilai-nilai kesantunan tersembunyi di celah-celah kehidupan masyarakat. Ini adalah salah satu cara mengangkat darjat bahasa Melayu di peringkat global.


 
 
 

Comments


Featured Review
Tag Cloud
bottom of page